Friday, June 13, 2008

Polis Siasat Pegawainya didakwa rampas tanah 787 hektar

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bukit Aman hari ini mengesahkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Supritendan kini disiasat berhubung dakwaan terlibat dalam isu rampasan tanah di Kampung Tingkayu, Kunak, Sabah.
Suspek dikatakan telah menyalahgunakan kuasa apabila melindungi sebuah syarikat hartanah yang didakwa merampas 787 hektar ladang sawit milik pekebun kecil bernilai kira-kira RM40 juta di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, kes itu dirujuk ke Bahagian Tatatertib Bukit Aman untuk siasatan menyeluruh.
Beliau menjelaskan, bentuk tindakan ke atas pegawai terlibat sekiranya terbukti bersalah akan ditentukan setelah laporan lengkap mengenai kes itu diperoleh.
''Memandangkan perkara ini masih disiasat, saya tidak mahu mengulasnya secara terperinci.
''Jika dakwaan itu terbukti benar, pegawai itu akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini.
Ismail memberi jaminan kes itu akan disiasat dengan rapi.
Beliau diminta mengulas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok supaya Biro Pengaduan Awam (BPA) menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan salah guna kuasa oleh seorang pegawai kanan polis di Sabah.
Tindakan Dompok itu adalah susulan inisiatif sebahagian daripada pekebun kecil terlibat yang menemuinya di bangunan Parlimen Selasa lalu.
Mereka mendakwa kawasan tanaman yang diusahakan sejak 23 tahun lalu dirampas oleh pemaju hartanah berkenaan.
Pekebun kecil terbabit juga mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya walaupun sudah 40 laporan berhubung kes itu dibuat di Balai Polis Kunak dari Januari hingga Mac lalu.
Selain pegawai kanan polis itu, seorang pegawai tinggi penguat kuasa undang-undang bergelar 'Datuk' juga dikatakan terlibat dalam kes tersebut.
Sementara itu, Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Latifah Mohd. Yatim mengesahkan telah menerima maklumat berhubung kes pekebun kecil itu pada 29 Mei lalu.
''Sekiranya pegawai polis itu terbabit dalam kesalahan melibatkan rasuah atau salah guna kuasa, dia akan dikenakan tindakan mengikut Akta BPR 1997,'' jelasnya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.
Latifah menegaskan, siasatan BPR adalah telus tanpa mengambil kira latar belakang suspek dan beliau berharap pihak terlibat akan memberi kerjasama sepenuhnya.