Monday, May 12, 2008

Jeffrey sanggah teori Tun Mahathir





Utusan Malaysia


KOTA KINABALU 8 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa tarikan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) beralih kepada pakatan pembangkang adalah hanya untuk mendapat habuan.
Ketua Perhubungan PKR Sabah dan Sarawak, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana Ahli Parlimen BN yang beralih kepada pembangkang dianggap bukan sebagai peralihan biasa.
Jelas beliau, jika berlaku sebarang peralihan melibatkan Ahli Parlimen BN, ia adalah demi kepentingan rakyat.
"Saya tidak setuju dengan apa yang Tun cakap, kerana ini bukanlah peralihan biasa, kita belum pernah ada keadaan macam ini, sebab itu kita anggap peralihan ini sebagai satu tugas dan tanggungjawab ahli Parlimen terhadap rakyat.
"Peralihan mereka kepada PKR untuk perkara baik dan untuk membela rakyat bukannya untuk kemewahan kerana parti tidak ada duit untuk beli mereka," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Sokid Villa di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr. Mahathir bahawa pada masa ini ahli-ahli politik menunjukkan minat tentang berapa banyak yang mereka peroleh dan tidak betul-betul berkhidmat kepada negara.
Dr. Mahathir berkata, desakan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti dan sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa sekarang, berfikir mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.
Jeffrey berkata, peluang memenangi beberapa negeri oleh pembangkang pada pilihan raya lalu harus dimanfaatkan semua ahli Parlimen bagi membuat satu perubahan.
"Kalau dia tidak buat kali ini, rakyat akan marah kerana tidak ambil peluang ini untuk memperjuangkan nasib mereka. Ini peluang mengubah kerajaan yang tidak lagi dapat menyelesaikan banyak masalah seperti rasuah, kezaliman dan sikap kolonialisme terhadap Sabah," katanya.
Beliau berkata, kerajaan sedia ada harus diganti kerajaan baru yang lebih terbuka dan lebih mementingkan keadilan serta menghormati hak-hak negeri Sabah.
Menyentuh perkara lain, Jeffrey berkata, kerajaan Sabah sekarang tidak dapat menyelesaikan banyak masalah rakyat seperti pencerobohan tanah di banyak kawasan di negeri ini.
Katanya, rayuan penduduk seperti di Kunak yang menyertai Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak yang mendakwa tanah mereka dirampas masih belum dapat diselesaikan.
Beliau mendakwa, penduduk sebaliknya dihalang memasuki kawasan tanah mereka oleh samseng-samseng yang juga terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkuasa termasuk polis.

No comments: