Monday, May 12, 2008

Pegawai kanan penguatkuasa bergelar 'Datuk' sedang disiasat

9th April, 2008
KUALA LUMPUR : Seorang pegawai tinggi penguatkuasa undang-undang bergelar ‘Datuk’ sedang disiasat atas dakwaan menawarkan ‘perkhidmatan perlindungan’ kepada sebuah syarikat hartanah yang didakwa merampas 787 hektar (kira-kira 4,000 ekar) ladang kelapa sawit milik pekebun kecil di Kunak,Sabah.

Sebagai balasan bagi ‘perkhidmatan’ beliau itu,syarikat tersebut yang turut terlibat dalam pemberian pinjaman wang,dilaporkan memberikan ganjaran dan faedah lain termasuk saham syarikat kepada pegawai itu.

Saham itu difahamkan,diletakkan di bawah nama penamanya dan juga difahamkan bahawa beberapa pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah mungkin terbabit dalam skandal itu.

Bernama difahamkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah telah mengambil semua fail berkaitan tanah ladang itu dari Jabatan Tanah dan Ukur Sabah untuk menentukan dakwaan pembabitan pegawai berkenaan.

Semasa dihubungi,Pengarah BPR Sabah,Latifah Md Yatim mengesahkan agensi itu telah memulakan penyiasatan terhadap isu tanah itu.

“Kami telah memulakan penyiasatan dan sedang meneliti kes ini dengan serius dan sedang mengumpul maklumat relevan,” katanya.

Bagaimanapun,Beliau enggan mengulas pembabitan pegawai tinggi itu,yang berumur dalam lingkungan 50-an.

Pada awal Januari,syarikat berkenaan dikatakan telah menggaji lebih 100 pendatang asing tanpa izin untuk merampas tanah bernilai kira-kira RM400 juta itu.

Menggunakan anjing,pedang samurai dan senapang patah,pendatang asing terbabit masuk ke ladang sawit itu di Kampung Tingkayu dan menghalang 171 pekebun kecil memasuki tanah itu,yang telah diusahakan oleh mereka selama 23 tahun.

Samseng terbabit tinggal dalam pondok sementara yang dibina di ladang itu untuk melakukan rondaan 24 jam untuk mengawal kemasukan ke ladang itu.

Lebih 40 laporan polis dibuat antara Januari dan Mac tahun ini di balai polis Kunak dan banyak surat dihantar ke Jabatan Tanah dan Ukur Sabah,tetapi sehingga hari ini masalah yang dihadapi perkebun kecil itu masih tiada perubahan.

Seorang daripada pekebun kecil berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee,56,mendakwa jalan menuju ke ladang mereka telah dilencongkan dan dipasang pagar besi disekelilingnya bagi menghalang mereka masuk ke ladang mereka.

“Pendatang asing tanpa izin itu menggunakan taktik menakut-nakutkan,mereka melepas tembakan dengan senapang patah,melibaskan pedang samurai dan mengacukan lembing dan mengancam untuk melepaskan anjing untuk menyerang kami.

“Apabila kami kata yang kami ada surat perintah mahkamah,mereka mengejek-ejek kami dengan menyatakan bos mereka mempunyai wang untuk malahan membeli mahkaman.

“Samseng itu juga memberitahu kami yang kami boleh masuk ke tanah kami dan mengambil hasil tanaman sawit,tetapi dengan syarat kami membayar mereka RM50 bagi setiap tan buah sawit,” katanya.

Lee mendakwa apabila laporan dibuat terhadap samseng itu di balai polis Kunak,pegawai polis tidak mahu melayani pekebun kecil berkenaan dan menasihatkan mereka supaya jangan membuang masa mereka.

Dalam satu insiden,Lee berkata seorang daripada samseng itu mengacukan senapang patah ke dahi seorang pekebun kecil dan pedang pada perutnya- kerana gagal mematuhi arahan mereka.

“Mereka yang menentukan apa yang kami patut buat di ladang kami sendiri.Kami mahu kerajaan negeri dan polis menyelamatkan kami daripada mimpi ngeri ini.” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

No comments: