Monday, May 12, 2008

Koperasi dan Jabatan Mafia di Sabah

MAFIA: Alimuddin (Kiri) yang cuba menjadi samseng di bumi Sabah memasang
pengadang jalan berkawal bersama pengikutnya. Yadum mengharapkan
keajaiban undang-undang yang belum pasti

dipetik dari colourful sabahan

Mengikut siasatan Malaysia Today, Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad telah menjual tanah berkenaan kepada dua buah syarikat yang kini bertelagah sesama sendiri dan menuduh koperasi menipu mereka dan turut memfailkan tuntutan di mahkamah.
Selepas insiden Polis membantu Mafia merampas tanah anak negeri Sabah di Latangon, Kinabatangan, kini terdapat satu lagi kes Mafia di Sabah yang turut didalangi polis. Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (RCS.189/67) yang didaftarkan di Jabatan Pembangunan Koperasi telah menggunakan taktik Mafia dengan menakutkan penduduk para Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak dengan bantuan Ketua Polis Daerah Kunak, Dingka Utoh.
Walaupun Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (Koperasi) telah terlebih dahulu memohon tanah seluas 4,000 ekar di Tingkayu, Kunak melalui PT 77110734, namun permohonan mereka dibatalkan oleh Setiausaha Hasil Bumi melalui surat JKM.MNR.119/34 Vol. II/221 bertarikh 5 Julai 1985 kerana koperasi memalsukan keterangan ahli.
Menurut Setiausaha Hasil Bumi, Datuk William Shim, Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi melalui surat JKPS: 06/137/ (57) bertarikh 1985 mengesahkan bahawa koperasi berkenaan hanya mempunyai 10 orang ahli sahaja dan adalah tidak munasabah jika kawasan seluas 4,000 ekar diluluskan kepada 10 orang sahaja.
Tegas William dalam surat tersebut, walaupun surat tawaran telah dikeluarkan dan bayaran pendahuluan 25 peratus telah dibayar, namun syarat-syarat pembangunan kawasan berkenaan tidak dipatuhi, maka surat tawaran berkenaan dibatalkan dan kawasan tersebut dijadikan Skim Pekebun Kecil.
Sehubungan daripada itu, Jabatan Tanah dan Ukur Kota Kinabalu telah menulis surat kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu melalui surat L.S. 1101.5.9/124 bertarikh 18 September 1987, memaklumkan bahawa surat tawaran kepada Koperasi dibatalkan dan kawasan berkenaan dijadikan Skim Pekebun Kecil.
Maka penduduk kampung yang bukan menjadi ahli koperasi dibenarkan membuka tanah dan menanam di Skim Pekebun Kecil berkenaan.
Lanjutan daripada itu, Jawatankuasa Kerja Penggunaan Tanah (LUC) Kunak yang mengadakan Mesyuarat pada 19 Mei 1994 telah meluluskan permohonan 171 pekebun kecil untuk menduduki tanah berkenaan.
Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Dahlan Haji Awang Tengah telah mengarahkan Jabatan tanah dan Ukur Lahad Datu melalui surat L.S.1108.1.14/185 bertarikh 31 Julai 1995 mengeluarkan SP untuk pengukuran Skim Pekebun Kecil Tingkayu, namun atas sebab yang tidak dikenalpasti, tidak ada sebarang pengeluaran SP dilakukan.

Sehingga 1997, para pekebun kecil masih mendapat pengiktirafan Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak terutama melalui surat DOK. 2402.1/1139/(6) bertarikh 10 Julai 1997 apabila Penolong Pemungut Hasil Tanah memaklumkan kepada dua orang pemohon Ho Tien Yen dan Phang Chiew Lan bahawa kawasan berkenaan adalah untuk Pekebun-Pekebun Kecil Tingkayu dan tidak terdapat baki kawasan untuk dipohon oleh sesiapa dan sebarang permohonan yang dibuat tidak dapat dipertimbangkan dan terbatal.
Namun pada 17 November 2003, Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak telah mengeluarkan arahan di bawah Penyiasatan Tanah bernombor 4/2003 bahawa 171 pemohon telah menceroboh dan menanam di kawasan tanah yang dipohon dan diluluskan kepada Koperasi agar mereka meninggalkan kawasan berkenaan.
Pada 2 Disember 2003, 171 pemohon berkenaan telah memfailkan memorandum rayuan kepada Pengarah Tanah dan Ukur melalui Tetuan Ting, Rosen & Co, namun tidak ada sebarang keputusan diberikan.
Sesuatu yang mengejutkan kerana pada 30 November 2005, Jabatan Tanah dan Ukur telah mengeluarkan geran hak milik CL 245361951 kepada Syarikat Kerjasamana Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad seluas 1,340 hektar berasaskan PT 77110734 melalui kelulusan MNR 119/34 V II/97 yang dibatalkan kerana masalah teknikal.
Geran tanah berkenaan yang dikeluarkan pada 21 April 2006 telah didaftarkan secara rasmi pada 9 Oktober 2006 ditandatangani oleh Pengerusi Koperasi Haji Ator Semurungawan, Bendahari Haji Boteh Kerit dan Setiausaha Habib Ahmad Habib Ali pada 9 Oktober 2006 dan diakui sah oleh Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Haji Dahlan Awang Tengah.
Mungkin inilah pertama kali dalam sejarah geran dikeluarkan sebelum pengukuran dijalankan kerana Koperasi kini mengalami masalah mengukur tanah berkenaan disebabkan para Pekebun Kecil enggan berganjak meninggalkan kawasan berkenaan.
Pada 17 Mei 2006, para pekebun kecil yang diketuai oleh Yadum Atihal telah memfailkan kes T (25) 5/2006 di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mengenepikan arahan Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur pada 19 April 2006 agar mereka meninggalkan kawasan Skim Pekebun Kecil berkenaan yang telah diluluskan kepada Koperasi berkenaan.
Memorandum bernombor 5/2006 telah didengar di hadapan Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Tuan Haji Dahlan Awang Tengah di Ibu Pejabat tanah Kota Kinabalu pada 28 Februari 2006 dan melalui surat arahan bertarikh 19 April 2006, Haji Dahlan menolak rayuan pemohon tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Kami tidak pernah kacau masalah koperasi dan adalah amat wajar jika Koperasi tidak mengganggu tanah kami. Kalau kerajaan lulus kepada mereka, pastikan jangan termasuk ke dalam tanah yang kami usahakan,” ujar Yadum ketika ditemui di pejabat peguamnya.
Menurut Yadum, koperasi hendaklah menghormati udang-undang negara dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.
Oleh kerana kes berkenaan telah difailkan di mahkamah, maka Yadum enggan mengulas lanjut kerana bimbang akan melakukan subjudis.
Namun Yadum telah membayang pihaknya telah memfailkan laporan terhadap Badan Pencegah Rasuah kerana yakin berlakunya salahguna kuasa terutama oleh Ketua Menteri Sabah, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi.
Mungkinkah Haji Dahlan yang terlalu licik sejak sekian lama sedang diperhatikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam kegiatan pemalsuan, penyalahgunakuasa dan mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat akan terjebak dengan skandal tanah ini?
Ramai pemohon tanah telah memberi gelaran ‘Bapa Mafia’ kepada Haji Dahlan terutama dalam kes yang melibatkan geran hak milik tanah anak negeri di Kinabatangan yang diberikan kepada Kwantas Plantation Sdn.Bhd, IOI Corporation Sdn.Bhd, Fortuna Leong Sdn.Bhd dan sebagainya menggunakan Sijil Anak Negeri dan Surat Kuasa palsu.
Koperasi Tingkayu telah mengamalkan taktik Mafia dengan mengupah seorang anak Pendatang Tanpa izin yang mendapat kad pengenalan projek, Alimuddin Mohd Ajay sebagai Ketua Inspektor bagi melancarkan kerja-kerja Penyukatan dan menyelesaikan masalah yang timbul semasa kerja penyukatan sempadan dijalankan melalui surat kepada jurukur swasta Teck Min Company bertarikh 1 Disember 2007.
Sebagai anak pendatang tanpa izin, Alimuddin membawa lebih 40 orang samseng yang bertatu dan bertubuh besar untuk menjaga kawasan berkenaan dan memasang rantai penghadang jalan bagi menghalang pekebun kecil keluar atau masuk ke kawasan berkenaan.
Bapa Alimuddin, Haji Mohd Ajay Abd Jalil telah lama meninggal tetapi merupakan salah seorang pemohon Skim Pekebun Kecil Tingkayu.
Alimuddin dikenalpasti menjadi Ahli Parti KeAdilan Bahagian Silam dan pengikut setia kepada seorang pelobi calon Dewan Undangan Negeri Kunak, Haji Beddu Kodosat kini berbangga memandu Ninja King bernombor ST 5567 K berwarna coklat emas. Ninja King ini dilihat mengiringi Ketua Umum Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan pejabat Keadilan Kunak pada 2007.
Ninja ST 5567 K berkenaan didaftarkan atas nama Ajay Enterprise yang beralamat di Kampung Getah, Kunak, Peti Surat 5, 91027 Kunak.
Mengikut sumber rapat, beliau kini menjadi ahli Umno Silam tetapi semakan di laman web Umno, nama beliau tiada dalam rekod keahlian Umno.
Alimuddin telah mendesak pekebun kecil yang ingin menggunakan jalan berkenaan membayar RM100 bagi setiap tan buah kelapa sawit yang dikeluarkan menggunakan jalan berkenaan.
Alimuddin telah dibekalkan senapang patah telah melepaskan tembakan ke udara sebanyak lima kali untuk menakutkan pekebun kecil yang diketuai oleh Nordin agar meninggalkan tempat tinggal mereka.
Seorang rakan Nordin sempat memungut satu kelongsong peluru senapang patah berkenaan dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Kunak, namun anggota polis yang bertugas enggan menerima laporan sebaliknya menelefon Alimuddin.
Sebaik sahaja tiba ke Balai Polis Kunak, Alimuddin terus menampar rakan Nordin dan merampas kelongsong peluru berkenaan. Rakan Nordin merayu untuk membuat laporan polis di atas dua kejadian berkenaan, tetapi Balai Polis Kunak enggan menerima laporan rakan Nordin.
Merasakan keselamatannya tidak terjamin, orang Nordin terus ke Balai Polis Tawau untuk membuat laporan polis dan nasibnya tidak diketahui sehingga kini kerana tidak lagi kembali ke rumahnya di Skim Pekebun Kecil berkenaan.
Mengikut siasatan Malaysia Today, Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad telah menjual tanah berkenaan kepada dua buah syarikat yang kini bertelagah sesama sendiri dan menuduh koperasi menipu mereka dan turut memfailkan tuntutan di mahkamah.
Kini terbukti bahawa urusan pengeluaran geran dilakukan oleh Merityield dan bukannya diuruskan oleh Koperasi dan menjurus kepada berlakunya amalan rasuah apabila permohonan Koperasi yang dibatalkan Jabatan Hasil Bumi tiba-tiba memperoleh geran dan menafikan hak pekebun kecil yang selama ini bertungkus lumus mengerjakan kebun mereka sehingga mendapat hasil.
Lembaga Pengarah Koperasi pada mulanya telah menjual tanah seluas 1,430 hektar berkenaan kepada Merityield Sdn.Bhd (474532-M) dan memberikan Surat Kuasa Mutlak pada 12 Januari 2001 bagi membolehkan syarikat berkenaan menguruskan pengeluaran geran tanah dan menukar hak milik.
Namun pada 18 Mei 2004, Lembaga Pengarah Koperasi sekali lagi menjualkan tanah berkenaan kepada sebuah syarikat Double House Marketing Sdn.Bhd (621867-M) dan turut mengeluarkan surat kuasa tanpa membatalkan surat kuasa yang dikeluarkan kepada Merityield Sdn.Bhd.
Mengikut siasatan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Merityield Sdn.Bhd yang mempunyai modal berbayar RM100,000 ditubuhkan pada 24 Disember 1998 dimiliki sepenuhnya oleh Charles Lee Vui Kui, Jaiti Lungkiau dan Lim Huck Leong dan kesemua mereka menjadi Pengarah Merityield Sdn.Bhd.
Manakala Double House Marketing Sdn.Bhd yang ditubuhkan pada 17 Julai 2003 mempunyai modal berbayar RM2 dimiliki sepenuhnya Heiron Peter Gom dan Balinggi Lawadin yang masing-masing memegang RM1 setiap seorang. Mereka juga menjadi pengarah syarikat dan turut melantik Bakran Sahari, Elham Bakran dan Chin Yoke Chee sebagai pengarah dan Chin Fui Fong serta Liau Suk Ngee sebagai Setiausaha syarikat.
Kedua-dua syarikat ini dikenalpasti sebagai broker yang tidak berdaftar dan didalangi pihak yang berkepentingan di dalam pasukan Polis di-Raja Malaysia!
Perebutan kepentingan terhadap tanah ini akan mendedahkan siapa pemilik tanah ini seperti kes tanah di Tanjung Labian di Lahad Datu yang diluluskan oleh Kinsajaya Sdn.Bhd, milik mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusuff yang kini menghadapi beberapa tuduhan rasuah!

No comments: