Wednesday, May 21, 2008

PBS @ Polis Bela Samseng



Jika sebelum ini akronim PBS merujuk kepada Parti Bersatu Sabah yang memerintah Sabah dari 1985 hingga 1994 sering dijenamakan sebagai 'Peruntukan Belum Sampai' atau 'Pairin Bakal Susah', kini badi PBS menyerang polis kerana digelar 'Polis Bela Samseng'.


Senario ini berlaku apabila Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah menulis surat kepada Pengerusi Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Yadum Atihal yang isi kandungan tersirat di sebalik surat berkenaan melarang Pekebun Kecil memasuki kebun mereka yang dirampas samseng yang diupah Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (Koperasi).


Walaupun surat berkenaan pada dasarnya memihak kepada pekebun kecil, namun polis menghalang pekebun kecil mendapatkan semula tanah mereka yang dirampas koperasi dan mengugut akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah terhadap pekebun kecil yang merancang untuk menggunakan kekerasan jika terus dihalang memasuki tanah mereka.


Persoalannya, bagaimana pekebun kecil mahu menggunakan proses sivil untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan sedangkan Injunksi Mahkamah Tinggi Tawau tidak dihormati dan diingkari bukan sahaja oleh samseng, malah polis turut menjadi samseng membela samseng yang sanggup memberikan mereka habuan puluhan ribu sebulan hasil rompakan buah kelapa sawit milik pekebun kecil.


Oleh itu, tidak hairan jika polis tidak pernah menyiasat dan menangkap samseng Tingkayu yang diketuai oleh Alimuddin Mohd Ajay dan David Udin yang digaji oleh koperasi untuk merompak hasil tanaman pekebun kecil.


Bayanglah betapa seorang Ketua Polis Daerah boleh duduk bersembang dan bertepuk tampar dengan seorang Ketua Samseng di khalayak ramai?Mungkin kita tidak dapat bayangkan bahawa Ketua Polis Daerah dan pegawai kanan polis Kunak menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan suapan melalui tanah yang telah mengeluarkan hasil dengan mengupah samseng merompak hasil tanaman pekebun kecil yang masih dalam pertikaian mahkamah?


Semua penduduk Kunak tahu bahawa Ketua Polis Daerah, Dingka Utoh 'memilik dirikan' tidak kurang 300 ekar tanah di Skim Pekebun Kecil Tingkayu yang kini dijaga oleh Alimuddin dan David.Dingka sering kelihatan memasuki Skim Pekebun Kecil Tingkayu dengan menaiki kenderaan polis atau menumpang kenderaan mewah Alimuddin sekadar untuk memastikan semua pendatang tanpa izin yang digaji mereka selamat daripada serbuan pihak berkuasa dan tidak ada sebarang gangguan.


rakyat Kunak tahu bahawa bekas Ketua Cawangan Khas Kunak, ASP Redzuan Mat Zin turut 'merampas tanah' seluas 100 ekar di Skim Pekebun Kecil Tingkayu. Kini Redzuan ditukarkan ke Semenanjung kerana terlibat dengan beberapa kes melindungi pandatang tanpa izin yang bekerja dikebunnya hasil siasatan Pegawai Perisikan Tentera (MIO).


Walaupun Redzuan telah ditukarkan, namun tanah berkenaan dijaga oleh Muhd Nur Takku yang memandu Frontier berwarna Silver kelihatan sering memasukkan wang puluhan ribu ke akaun Redzuan di BSN Kunak namun masih lepas bebas tanpa sebarang tindakan oleh Badan Pencegah Rasuah atau Ketua Polis Negara.


Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner telah meluluskan Injunksi bagi Kes T (21) 4 Tahun 2008 pada 1 Februari 2008 yang berbunyi;"Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) diberi Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini."


Namun sejak daripada injunksi berkenaan dikeluarkan, polis gagal memastikan samseng berkenaan keluar daripada tanah yang diusahakan pekebun kecil sejak 25 tahun lalu, sebaliknya koperasi secara wewenang memasang papan tanda mendakwa tanah berkenaan milik mereka dan memperdaya pihak berkuasa dengan menggunakan keputusan rayuan perbicaraan tanah antara pekebun kecil dengan Jabatan Tanah dan Ukur.


Walau lebih 40 laporan polis dibuat, namun tidak ada sebarang siasatan atau tindakan dilakukan termasuk melibatkan jenayah senjata api, criminal tress-passing, mencuri, mencederakan, memiliki senjata berbahaya, pendatang tanpa izin dan ugutan.Sejak dua hari lalu, polis masuk dan keluar daripada Skim Pekebun Kecil Tingkayu namun tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.


Banyak mesej dan email yang diterima daripada pekebun kecil, kumpulan samseng semakin bertambah ramai dan mereka mula merampas rumah pekebun kecil dan menghalau pekebun kecil keluar daripada kebun berkenaan kononnya atas persetujuan Pesuruhjaya Polis Sabah.


Kumpulan samseng yang bersembunyi di kawasan yang terpencil gagal ditemui polis yang melakukan pemeriksaan rutin dan hanya yang memiliki kad pengenalan dibenarkan menjaga pagar penghadang jalan.Walau laporan berpuluh laporan dibuat, namun penghadang jalan berkenaan masih kukuh berdiri menyekat pekebun kecil daripada memasuki kebun mereka dan dalam masa yang sama, Ketua Polis Daerah Kunak dan Pegawai Daerah Kunak sering kelihatan menggunakan kenderaan kerajaan bermain golf dan minum bersama samseng Tingkayu di khalayak ramai.


Kelmarin, seorang pekebun kecil, Surat Singh telah membuat laporan polis di Balai Polis Lahad Datu yang antara kandungannya berbunyi;

Pada lebih kurang jam 3.30 petang, 20 Mei 2008, saya dan pekerja saya dihalang masuk ke kebun yang didaftarkan atas nama isteri saya, ROSE LAMBASING (PT 91240583) oleh sebelas orang lelaki yang mendakwa diri mereka bekerja dengan Alimuddin Mohd Ajay dan David Udin yang menceroboh tanah kami di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak. Saya melihat empat orang lelaki menceroboh, menyabit dan mencuri buah kelapa sawit di kebun saya. Jalan menuju ke kebun saya juga dihadang dengan rantai dan dikawal ketat. Saya datang ke balai membuat laporan agar polis menyiasat dan menangkap Alimuddin dan semua samseng upahannya kerana mereka mengingkari Injunksi Mahkamah dan juga arahan Pesuruhjaya Polis Sabah. Laporan ini juga dibuat agar polis menyiasat dan menangkap Pengerusi Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad, Hajjah Alinah Usman Suing kerana bersubahat dengan Alimuddin melakukan jenayah 'criminal tress-passing', 'Contemp of Court' dan mencuri buah kelapa sawit saya. Sehingga hari ini, lebih kurang 150 tan buah kelapa sawit saya bernilai RM105,000 telah dicuri oleh Alimuddin. Alimuddin juga turut memusnahkan rumah saya dan mencuri barang-barang yang terdapat dalam rumah tersebut yang bernilai lebih kurang RM10,000


No comments: